Wednesday, 26 June 2024

SUSAH TAK JAGA ANAK YANG HAFAL AL-QURAN

Ada yang tanya, susah tak untuk jaga anak yang hafal Al-Quran ni. 

Sebenarnya, tak lah susah. Sama macam jaga anak yang lain.

Sebelum anak masuk tahfiz. Kami dah bermula dari rumah. Masa ni memang bahagi tugas, selain hantar anak mengaji dekat guru Al-Quran yang lain. 

Saya sebagai Ibu akan mula ajar anak Iqra'.

Bila dah masuk Al-Quran. Tu bahagian si ayah pulak. Sebelum masuk ke tahfiz, kami akan pastikan anak boleh hafal beberapa surah termasuk Al-Kahfi.

Sebenarnya, masa di Johor dulu suami ada masuk kejab tahfiz. Jadinya, basic menghafal tu suami ada. Bolehlah habuan nak ajar anak-anak. 

Bila dah masuk tahfiz. Nak dapat rentak dalam menghafal memang perlukan masa. Bila dah dapat rentak. Makin laju dan makin faham. 

Hafalpun kena jaga panjang pendek dengung dekat mana. Kena mengulang bacaan, sebab tu ambil masa lama untuk khatam 30 juzuk.

Kemudian buat syahadah. Syahadah ni kiranya macam exam lah. Diaorang kena hafal 30 juzuk dalam masa yang ditetapkan. Ada yang buat sehari, dua hari atau 3 hari. Ikut tahfiz masing-masing dan kemampuan pelajar. 

Anak kami lagi sorang tengah buat syahadah. Doakan tau untuk Adik Ammar. 

Dalam tempoh anak-anak menghafal ni, kita semua kena selalu bagi semangat dan selalu bercerita keistimewaan orang yang menghafal Al-Quran ni.

Macam saya ni tak mampu. Saya pilih untuk hafal surah pilihan saja. 

Bila di tanya. Ada beza tak, untuk jaga anak yang Hafiz Al-Quran ni.

Jawapan saya, sama saja macam jaga anak yang lain.

Cuma diaorang ni perlu ada disiplin yang tinggi dan kehidupan seharian yang fokus mengaji mengaji mengaji.

Tatkala kita sedang nyenyak tidur. Anak-anak akan bangun sekitar jam 3-4 pagi untuk mula menghafal.

Moga Allah permudahkan segala urusan mereka, kuatkan ingatan, lancarkan lidah dan lisan serta berikan mereka ketenangan.

Aamin Ya Mujib 🤲

Wallahu a'lam

#keluargaibujannah 
#keluargaalhafiz

(Repost kembali penulisan saya di fb pada 26 Jun 2021)

Tuesday, 25 June 2024

RESEPI KACANG BUNCIS GORENG

Anak-anak lelaki saya selepas habis syahadah di tahfiz. Mereka akan masuk Pondok. Jadinya, masa ni lah mereka perlu belajar masak sendiri. 

Jadinya, bermulalah episod Ibu aktifkan semula blog untuk masukkan resepi yang Ibu masak. Lepas ni, bolehlah anak-anak buat sebagai rujukan.

RESEPI KACANG BUNCIS GORENG
=============================
Untuk 3 orang makan

Bahan-bahan:

▪️ Kacang buncis (potong serong) 
▪️ Pedal dan hati ayam (potong kecil. Boleh juga gantikan dengan ikan bilis atau udang) 
▪️ 1-2 biji bawang merah 
▪️ 3 ulas bawang putih
▪️ Sedikit bawang besar
▪️ 1 sudu kecil serbuk kunyit
▪️ Minyak

Cara-Cara: 

1. Panaskan minyak. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang ditumbuk. Jika nak hiriskan bawang tu pun boleh. Masak hingga sedikit garing dan naik bau.

2. Selepas itu, boleh masukkan pedal ayam dan hati ayam. Goreng hingga masak. 

3. Masukkan kacang buncis. Kacau sebati.

4. Masukkan sedikit bawang besar. 

5. Kacau sebati. Tunggu sekejab biarkan nampak layu sikit sayur. Terus tutup api.

6. Sedia untuk di hidangkan.


Siap untuk 3 orang makan. Untuk sekali makan saja ni. 

Panaskan minyak. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang ditumbuk. Jika nak hiriskan bawang tu pun boleh. Masak hingga naik bau.

Selepas itu, boleh masukkan pedal ayam dan hati ayam. Goreng hingga masak. 

Masukkan kacang buncis. 

Kacau sebati. 

Masukkan sedikit bawang besar. 
 
Kacau sebati. Tunggu sekejab biarkan nampak layu sikit sayur. Terus tutup api.

Sedia untuk di hidangkan.



















RESEPI MASAK LEMAK AYAM

Assalamualaikum semua. Moga semua sahabat di kurniakan kesihatan yang baik oleh Allah swt. 

Sebenarnya, hajat di hati nak buat masak lemak ayam. Dah siap semua bahan. Alaa..baru perasan kelapa parut dah habis. Nampak gayanya kena guna santan kotak lah.

Jom, kita tengok resepi masak lemak ayam menu untuk hari ini.


RESEPI MASAK LEMAK AYAM
=========================
Untuk 3 orang makan

Bahan-bahan:

6 ketul ayam

2 biji ubi kentang (di belah 4 setiap biji)

1-2 biji bawang merah

3 ulas bawang putih

1/4 santan kotak

1 sudu kecil serbuk kunyit

1 sudu kecil garam

1 biji tomato (belah 4)

1 helai daun kunyit (hiris) 

Air secukupnya


Cara-Cara:

1. Rebus ubi kentang bersama air sampai empuk. Air tu terpulang nak letak banyak mana untuk kuah.

2. Kemudian, masukkan bawang merah dan bawang besar yang siap di tumbuk. Jika nak hiris pun tak pa bawang-bawang ni. 

3. Terus masukkan ayam. Kemudian tunggu sampai masak dan mendidih.

4. Perlahankan api. Baru masukkan santan kotak. Saya letak suku kotak (1/4) atau satu senduk kecil. Sebab santan ni pekat. 

5. Terus letak satu sudu kecil kunyit. Kalau nak nampak lagi kuning. Boleh tambah lagi.

6. Masukkan tomato dan garam.

7. Masukkan daun kunyit yang telah di hiris.

8. Perasakan dengan garam satu sudu kecil tu. Nanti rasalah. Kalau kurang masin boleh tambah lagi.

9. Barulah kita kacau sebati dan tunggu sampai mendidih sedikit. Part ni tak boleh lama sebab tak nak terlampau pecah minyak santan tu. 

10. Siap di hidangkan.

Masak untuk 3 orang saja ni. Siap untuk tengahari dan makan malam. 

Santan kotak jenama Kara yang saya suka beli. Memang likat.

Bawang besar dan bawang kecil. Saya tumbuk dalam lesung batu. Biasanya saya hiris saja. Entah tetiba saja rajin hari ni. 😅

Rebus ubi kentang bersama air sampai empuk. Air tu ikutlah nak kuah banyak mana.

Bila dah empuk. Masukkan bawang merah dan bawang besar yang siap di tumbuk.
Pastikan masa tumbuk tu, polis tak ada tau. Kang kena tangkap. 😆

Masukkan ayam. Tunggu hingga masak dan mendidih. Kemudian baru perlahankan api.

Baru masukkan santan kotak. Saya letak suku kotak atau satu senduk kecil. Sebab santan ni pekat. Saya letak sikit saja.

Jadi macam ni lepas masukkan santan.

Terus letak satu sudu kecil serbuk kunyit. Kalau nak nampak lagi kuning. Boleh tambah lagi.

Kunyit ni saya guna kunyit hidup yang saya tanam. Saya kikis dulu kulitnya. Kemudian potong nipis kunyit hidup tu. Kemudian saya jemur sampai kering. Baru saya kisar halus dengan pengisar kering. Kemudian tapis. Jadilah serbuk kunyit.

Kemudian, terus masukkan tomato. 

Masukkan daun kunyit.

Masukkan garam. 

Barulah kita kacau sebati dan tunggu sampai mendidih dan masak.

Dah mendidih masa ni. Boleh tutup api.
Part ni dah tak lama masaknya. Sebab ayam dan ubi dah masak awal lagi. Lepas siap letak garam tu, nampak mendidih sikit dah boleh tutup api. 

Lagi satu, kita tak nak santan terlampau pecah minyak. 

Sudah siap. Sedia untuk dihidangkan.





 




























Monday, 24 June 2024

RESEPI SANDWICH TELUR

Bekal si kecil khaulah untuk makan petang di sekolah. Sandwich telur. Senang sangat nak buat ni. Kawan khaulah pun suka sandwich ni. Biasanya dia akan makan dengan kawan.

RESEPI SANDWICH TELUR
======================

Bahan-bahan:

4 keping roti

2 biji telur (gred c) 

1/2 sudu besar mayonis

Minyak 

Garam


Cara-Cara: 

▪️ Pecahkan 2 biji telur dan campurkan garam. Pukul keduanya. 

▪️ Dalam kuali. Panaskan minyak. Kemudian tuang adunan telur tadi. 

▪️ Kacau sambil hancurkan telur. Ketepikan setelah selesai. 

▪️ Dalam pinggan, campurkan telur yang siap di masak tadi dengan mayonis. Sebatikan. 

▪️ Belah roti kepada 4 bahagian. 

▪️ Letak telur tersebut pada roti dan tutup dengan sekeping roti lagi. 

▪️ Siap di hidangkan. 

Dapat banyak ni. Yang dalam bekas untuk anak bawa ke sekolah petang. 


Telur ni saya guna gred C. Hat ni saja yang ada di kedai. Saya campur garam sikit saja. Sebab mayonis pun dah masin.


Panaskan minyak sikit dalam kuali. Masukkan telur. Kacau dan hancurkan macam dalam gambar ni.


Masukkan mayonis setengah sudu besar. Sebab telur pun sikit saja. Kalau telur banyak boleh letak satu sudu besar.


Sebatikan mayonis dan telur.


Kepingan roti di belah 4.


Letakkan telur tadi. Sebenarnya, nak sapu mentega dulu sebelum letak telur tu pun boleh. Tapi saya suka kosong macam ni.


Siap guys. Jemputlah buat ibu ibu. 









 














MINUMAN HALIA & MADU

Assalamu'alaikum wbt. Selamat Pagi, Ibu Ayah. 

Alhamdulillah, syukur pada Allah masih di beri peluang untuk hirup udara segar pagi ni. 

Juga di beri peluang untuk kita bertaubat dan memohon ampun di atas dosa dosa samada kita sedar atau tidak sedar. 

Perut tak berapa nak selesa pagi ni. Jadinya, saya bancuh air panas di campur serbuk halia dan perahan lemon. Serbuk halia tu saya beli dekat Ben Ashaari. Masukkan hujung sudu serbuk halia saja dalam air. Dah memadai. 

Juga, setiap pagi masa perut kosong. Saya suka ambil madu 1 sudu kecil sebagai antibodi. Ini pun dah habis madu kelulut tu. Saya buka botol baru. Tak pasti yang dalam botol ni madu lebah atau madu kelulut. Apapun jenis madu. Setiap pagi saya suka amalkan. 

Saya doakan moga Ibu Ayah yang melawat blog saya beroleh keberkatan dan kebaikan di dunia dan akhirat. Juga di permudahkan segala urusan hari ini. Aamiin Ya Robbal'aalamiin 🤲 


Serbuk halia. Saya beli dekat Ben Ashaari. 
 

Botol baru nak buka. 
 

Suasana awal pagi di belakang rumah jam 7.20 pagi. 

Sunday, 23 June 2024

RESEPI KARI SARDIN



Jika dah tak ada idea nak masak apa. Menu Kari Ikan Sardin yang saya suka buat. Simple sangat.

Resepi di bawah tau. Macam biasa, tak ada sukatan detail. Al-maklumlah, ibu masak semua main campak campak saja. 😅

RESEPI KARI IKAN SARDIN
=======================

Bahan-bahan:

▪️ 1-2 biji bawang besar (hiris) 

▪️ 3 ulas bawang putih (hiris) 

▪️ 2 tin sardin (ambil ikan sahaja) 

▪️ 3 biji ubi kentang (di belah) 

▪️ Santan cair dan santan pekat. 

(cara saya: saya kisar kelapa parut yang di campur air panas untuk dapatkan santan pekat dulu. Lepas kisar, baru perah guna penapis santan. Tunggu suam dulu lah masa nak perah tu. Kan panas. 😅 Cara ni boleh buatkan dapat santan yang lagi banyak. Kemudian, ketepikan santan pekat tu. 

Kemudian, baru perah sekali lagi kelapa parut tadi dengan campur air biasa untuk dapatkan santan cair). 

▪️ Sedikit minyak

▪️ 1 paket kecil rempah kari

▪️ Halba campur 

▪️ Sedikit air asam jawa

▪️ Sedikit garam

▪️ Setangkai daun kari

▪️ Air


Cara-Cara: 

1. Panaskan minyak. Kemudian, masukkan bawang merah dan bawang putih yang telah di hiris. Masak hingga sedikit perang dah naik bau. 

2. Masukkan rempah kari yang di campur bersama air, daun kari dan halba campur. Tumis hingga naik minyak. Please ya! Biarkan rempah kari saja naik minyak. Bukan ibu ibu yang naik minyak tau. 😅

3. Setelah naik minyak. Masukkan santan cair dan air asam jawa. 

4. Kemudian, masukkan ubi kentang dan masak hingga empuk. 

5. Bila dah empuk kentang tu. Masukkan santan pekat. Kacau sebati. 

5. Baru masukkan ikan sardin. Kacau sebati. Kemudian, biarkan mendidih. 

6. Siap di hidangkan. 


Saya guna serbuk kari ikan jenama Abang Syukor. Saya beli di shopee saja. 


Untuk Sardin saya suka pakai jenama Pertima. Bersih sardin ni. 


Tumis bawang merah dan bawang putih hingga perang dan naik bau. 


  Kemudian, masukkan rempah kari ikan yang sudah di campur halba campur, daun kari dan air. 
Tumis hingga naik minyak. 


Dah naik minyak. 


Dah siap naik minyak tu. Masukkan santan cair. Kemudian, masukkan air asam jawa. 


Masukkan ubi kentang dan masak hingga empuk. 


Bila dah empuk ubi kentang. Masukkan santan pekat. Kacau sebati. 


Baru masukkan ikan sardin. Ambil ikan saja tau. Kuahnya tak perlu campur. 
Kacau sebati. Biarkan mendidih. 


Kacau sebati. Biarkan mendidih. 


Dah pun mendidih. Kejab saja nak masak sebab ikan ni dah sedia di masak dalam tin. 


Siap di hidangkan. 


Kari ikan sardin ni kegemaran arwah ayah mertua saya. Kalau masak ni bertambah tambah nasinya. Tetiba rindu pulak pada ayah mertua. Al-Fatihah buat ayah mertua kesayangan. 




















RESEPI SAMBAL TUMIS PETAI


Semalam, 22.6.24, sempat saya sediakan menu untuk tengahari. Anak-anak dah nak balik tahfiz. Ibu siapkan menu sambal tumis petai, kari ikan sardin dan pulut durian. 

Sunyilah semula rumah. Anak-anak dah balik semua. 

Resepi di bawah ni tak ada sukatan yang detail. Maklumlah ibu ibu memasak ni. Main campak campak ya dak. 😅

RESEPI SAMBAL TUMIS PETAI 
==========================

Bahan: 

▪️ 1-2 biji bawang merah

▪️ 3 ulas bawang putih 

▪️ 2 biji bawang besar (ambil sebiji untuk kisar bersama cabai kering. Lagi sebiji, hiriskan)

▪️ Sedikit minyak

▪️ 3 papan petai 

▪️ Ikan bilis (ambil sikit untuk kisar bersama cili kering. Yang lain simpan untuk goreng) 

▪️ Cabai kering (rebus sekejab dan toskan) 

▪️ Gula melaka (nak guna gula biasa pun boleh) 

▪️ Sedikit air 

▪️ Sedikit garam


Cara-cara:

1. Panaskan minyak dan goreng ikan bilis. Dah perang. Ketepikan.

2. Menggunakan minyak yang sama. Masukkan bawang merah dan bawang putih yang telah di hiris. Setelah nampak garing sikit. 

3. Masukkan cili kering yang telah di kisar. 
Saya kisar bersama bawang besar, ikan bilis yang belum di goreng dan sedikit air). 

4. Bila dah pecah minyak. Masukkan sedikit gula melaka. Kacau sebati dan masa ni nak masukkan air pun dah boleh. Air tu ikutlah nak kuah banyak mana. 

5. Masukkan petai pula. Biarkan hingga masak . 

6. Bila dah masak. Masukkan bawang besar yang telah di hiris. Kacau. 

7. Masukkan ikan bilis yang telah di goreng dan sedikit garam. 

6. Biarlah mendidih. Bolehlah tutup api dan sedia di hidangkan. 


Goreng ikan bilis


Bila dah perang. Boleh ketepikan. 


Menggunakan minyak yang sama. Masukkan bawang merah dan bawang putih. Goreng hingga sedikit garing dan naik bau. 


Masukkan cili kering yang telah di kisar bersama  sebiji bawang besar, sedikit ikan bilis dan juga sedikit air. 


Bila dah pecah minyak. Masukkan gula melaka. 


Cara saya nak hilangkan pahit petai. 
Saya kikis sedikit kulitnya. 
Kemudian, rendam sebentar petai yang telah di hiris ke dalam air. Masukkan sedikit garam. 
Ketepikan dulu. 
Sebelum nak masak boleh basuh dan toskan. 

Lepas dah masukkan air. Masukkan petai tadi. 
Tunggu sampai masak petai tu. 


Bila dah masak. Baru masukkan bawang besar yang telah di hiris. Kacau. 


Masukkan ikan bilis yang telah di goreng dan masukkan garam. Kacau sebati. 


Bila dah mendidih. Baru tutup api. 


Siap di hidangkan.