Friday, 16 August 2024

PREP AIR

Jika di sebut 'prep air'. Sebenarnya, saya dah bermula sejak 23 tahun yang lepas. Pada masa itu, kami masih menggunakan air bukit. 

Rumah kami ni terletak di kawasan tinggi. Jika hendak ke rumah, perlu melalui 2 titi kecil. Titi di perbuat dari batang pokok dan atasnya di letakkan kayu. 

Setiap hari, jam 8 pagi air bukit dah mula tiada. Nak ada pula lepas maghrib. Di kawasan rendah sebelum maghrib air dah sampai.

Setiap jumaat, seharian tak ada air di sebabkan proses pembersihan paip besar di atas bukit.

Jadinya, lepas subuh saja. Saya akan mula isi air dalam tong besar dan isi air dalam botol untuk kegunaan harian. 

Saya tinggal dengan ayah mertua dan adik ipar. Kena pandai budget air agar mencukupi untuk semua. 

Sehinggalah, bertahun kemudian barulah penduduk sini mula guna air paip kerajaan (SADA).

Kiranya, jika sebut prep air. Bukan setahun dua saya menyimpan air. Malah bertahun yang lalu. Dah terbiasa walaupun air paip kerajaan laju saja. 

Kami akan minum gunakan botol ni. Tuang dalam gelas dan minum. Dah habis minum, kami akan simpan dalam chiller saya yang lama ni supaya tak berhabuk botol. 

Cuma, setahun dua ni. Rumah saya hadapi sedikit masalah air bagi paip kerajaan. Kadang seharian tak ada air, beberapa hari tak ada air atau malam saja tak ada air. 

Seperti sekarang ni dah sebulan lebih setiap jam 9.30 malam air tak ada. Tapi, sebelum subuh air mula sampai laju kemain. 

Ada kerja menaiktaraf berkaitan air yang sedang di jalankan.

Untungnya, di rumah saya ni masih lagi menggunakan air bukit. Dan laju sangat airnya. Mungkin dah tak ramai gunakan air bukit. Tak pernah putus air bukit ni, tak seperti dulu yang ada hari tertentu tak ada air. 

Jadi, saya tak kisah sangat jika air dari paip kerajaan tak sampaipun. 

Cuma sekarang musim hujan. Air bukit akan keruh. Jadi, saya melipat gandakan prep air untuk kegunaan harian. Untuk membasuh tu tak apa lah. Guna yang keruh pun. Tapi untuk masak dan minum perlu guna air bersih. 

Jika ada soalan. Berapa tahun tahan jika kita prep air? Masih elok digunakan walaupun bertahun? 

Maaf, sukar untuk saya jawab. Sebab saya buat FIFO (First In First Out). 

Paling lama, 2 minggu saja. Lepas tu dah habis. Saya sentiasa ready untuk top up air baru. Keluarga saya besar.

Paling seronoknya, bukan saya saja yang sentiasa standby air tau. Rata-rata di rumah lain pun sama. Dah jadi perkara biasa bagi kami walaupun air di kedua paip sudah tak ada masalah.

Saya simpan dalam chiller yang dah rosak ni.
Lepas minum, botol kosong saya simpan dalam ni supaya tak berhabuk. 

Siap untuk di isi air. 

Air saya tapis dulu guna penapis biasa dan masak. Rajinkan saya masak air. 😅 








Tuesday, 13 August 2024

MUTIARA KATA

Tiada seorang pun yang terkecuali daripada melalui titian sirat tersebut, iaitu sebuah jambatan yang lebih halus daripada rambut dan lebih tajam daripada mata pedang. 

Sudah siapkah bekalan kita untuk ke sana?

Sunday, 11 August 2024

KONVOKESYEN HUFFAZ 2024

MasyaAllah Tabarakallah.

Majlis Konvokesyen Huffaz Nusantara Permata Al-Quran Kali ke-9 di Dewan Millennium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 4 Ogos 2024.

Adik Solleh berusia 15 tahun tika ini. Bak kata Tuan Mudir, semua ini adalah kenangan. 

Buat adik Solleh, dapat menghafal 30 juzuk adalah dengan keizinan dari ALLAH SWT jua. Jagalah sebaiknya ilmu ini sehingga ke nafas terakhir.

Adik perlu ingat di sebalik semua ini. Bukan saja doa ibu, ayah, keluarga dan orang ramai. Tapi doa dan redha seorang gurulah yang memudahkan adik mengingat apa yang di hafalkan. Muliakanlah seorang guru sebagaimana adik memuliakan ayah ibu. 

Ucapan tahniah juga kepada Tuan Mudir, Ustaz Abdul Hady Ismail, atas pencapaian cemerlang sebagai Tokoh Mudir Terbaik Nusantara. 

Juga tahniah kepada semua guru yang mendidik Adik Solleh mengenal huruf alif ba ta dan mendidik adik Solleh tentang adab bermula di PASTI, SKC & DQAM.

Moga ALLAH redha dengan semua ini kerna sebaik baik perkara adalah mendapat keredhaan dari ALLAH SWT. 🤲

Alhamdulillah, adik Solleh khatam hafazan 30 juzuk pada usia 13 tahun. Sekarang masih lagi berada di tahfiz untuk Syahadahnya. 

Perarakan masuk para graduan. 

Bergambar kenangan. 

Sekalung Tahniah buat Tuan Mudir, Ustaz Abdul Hady Ismail, atas pencapaian cemerlang sebagai Tokoh Mudir Terbaik Nusantara. 
Seorang guru yang mendidik ketiga anak kami di Tahfiznya. 

Bergambar bersama waris dan pelajar. 












JUS TOMATO

Bila saya kongsikan tentang produk yang saya pakai atau makanan minuman tambahan yang saya amalkan. Mesti ada kan hat peqembang gambar profile saya. 😅 

Gambar profile tu hat lama masa umur 30an. La ni saya dah tua dan berkedut sana sini. Tak berapa tahun lagi nak umur 50 dah.

Jangan ikut macam saya yang bila tua baru nak amalkan. Saya kongsikan sebab tak nak ibu ibu jadi macam saya yang sedar lewat. 

Ok, Jom! Saya nak kongsikan hat lain pula. 

Sebenarnya, dahi saya ada tiny bumps dan jerawat. Sedangkan sebelum ni punya susah nak ada sebiji jerawat pun. 

Mulanya, hairan juga sebab apa jadi macam ini. Bila saya cari pelbagai info. Rupanya, salah satunya adalah stress. 

Oh, patutlah. Memang saya banyak berfikir sejak beberapa bulan ni dan berkrusus itu ini. Semuanya datang serentak dan alhamdulillah, semuanya dapat di selesaikan dengan jayanya bersama pertolongan dari ALLAH SWT.

Berbalik kepada perkongsian tentang Jus yang di amalkan. Punya sabar dan pelbagai ikhtiar yang di buat. Alhamdulillah, dengan izin Allah. Sekarang ni baruuu lah nampak nur sikit. Makin kurang dan tiny bumps pun makin mengecil. 

Salah satu yang saya amalkan setiap hari. Saya kisar tomato + limau sunkist. Juga, seminggu 2 kali saya amalkan tomato + carrot yang di kisar. Saya minum awal pagi sebelum sarapan.

Selain dari tu, kena rajin jaga wajah. Hat ni, nantilah saya share kan di lain posting. Cuma yang saya suka amalkan scrub wajah dengan beras yang di kisar halus + serbuk kunyit + susu tepung. 

Setengah biji tomato + setengah biji limau sunkist. Saya kisar dengan air sejuk. Sukatan tu ikut suka ibu ibu lah. Ini cara saya yang nak berjimat. 😁

Blander memang nampak comot sikit sebab baru lepas kisar pegaga + apple hijau untuk di buat jus juga.

Siap. Alhamdulillah. Sedap minum jus ni. 

Dapatlah banyak ni. Minum semasa perut kosong di awal pagi. 2 minggu saya amalkan memang nampak perubahan. 

Bilamana, makin mengecil tiny bumps dan jerawat yang keluar dengan meriah dah pun stop. Segalanya dengan izin Allah jua. Alhamdulillah.








AIR KOMBUCHA

Dah lama saya tak minum air kombucha. Saya simpan semua gambar di sini sebagai kenangan dan rujukan. 

Saya mula menapai campuran air teh untuk di buat Ibu Kombucha pada tahun 2021. Melalui proses ini akan terhasilnya Scoby (symbiotic culture of bacteria & yeast). 

Setelah siap menghasilkan Ibu Kombucha. Saya bancuh air teh baru dan tapai air teh selama beberapa hari menggunakan scoby dan sedikit campuran air dari ibu kombucha.

Setiap hari saya amalkan minum air teh kombucha . Sehinggalah sibuk dengan urusan lain. Dari hari ke hari, bila dah lama tak pedulikan Ibu Kombucha tu air pun kering dalam balang dan scoby pun dah tak nampak. 

Jadinya, pada 1.8.24, saya aktif semula bancuh air kombucha dengan menggunakan ibu kombucha yang sahabat saya bagi. Pada masa yang sama, saya mula buat Ibu Kombucha kembali. 

Air kombucha ini mengandungi probiotic yang sangat bagus untuk perut, ia membantu untuk saraf, jantung, migrain serta dapat urus imbangan kolesterol. Terlalu banyak kelebihan lain selain yang maklong nyatakan tadi. 

Di pasaranpun ada jual air kombucha ni jika ibu ayah nak beli. Di shopee dan tiktok pun ada jual scoby ni. Rasa air kombucha ini seakan air gas dan masam. Memang sedap minum sejuk sejuk. 

Saya belajar kelas menapai dari Cikgu Iskandar Ab Rashid. Selain dari kombucha. Cikgu Iskandar ajar cuka, sauerkraut, minyak kelapa dara, kimchi, yogurt serta tempe.

Gambar lama ni, masa mula buat Ibu Kombucha pada 11.10.21.
Masa ni baru belajar lagi. Masih dalam proses belajar untuk tahu ragam ibu kombucha dan scoby ni.

Sebelah kiri tu air kombucha perisa mangga. Ada campuran buah mangga dalam tu. Sedap sangat.
Saya pernah buat perisa mangga dan nenas. 

Air Kombucha perisa mangga. Tudung saya tak tutup rapat sebab saya kurang gemar rasa terlalu bergas sangat. Kalau nak rasa bergas boleh tutup rapat tudung botol tu.

Gambar kanan. Menggunakan ibu kombucha dan scoby yang sahabat bagi pada 31.7.24. Saya bancuh teh untuk top up air dalam balang.

Gambar kiri, saya bancuh air teh di campur ibu kombucha dan scoby yang sahabat bagi untuk di buat air teh kombucha.

Kali ni letak dalam jug. Tak letak dalam botol macam dulu. Stok untuk seminggu minum ni.
Kali ni saya tak campur buah. Cuma air teh kosong saja.

Siap dah. Minum masa perut kosong di awal pagi. Sebelum tidurpun saya minum juga. Alhamdulillah.

Balang tengah tu, saya nak buat Ibu Kombucha. Saya baru bancuh pada 5.8.24.